ORANG KAMPUNG MAKIN SUKAR

Assalamualaikum....
Selamat menyambut tahun baru hijrah, semoga tahun ini akan membuka satu lembaran baru yang lebih bermakna kepada semua pembaca dan penternak cacing di seluruh pelosok tanah air.
Bagitu juga aku ingin mengucapkan selamAt tahun baru 2009 yang kepada semua. Harapan kedua-dua tahun ini akan memberi peluang dan ruang yang cukup dan lebih luas untuk aku ceburi dalam bidang penternakan yang baru bagi aku.

Salam buat semua,
Cabaran tahun 2009 sebenarnya telah mula dirasai oleh semua lapisan masyarakat sejak pertengahan tahun ini. Harga minyak yang pada awalnya naik mendadak telah memberi kesan yang amat mendalam apabila semua harga barang keperluan turut naik mencanak menyebabkan semua rasa gelisah. Namun setelah harga minyak turun merudum kepada lebih rendah dari paras asal, namun harga barang tetap serupa.

Gelisah orang kampung seperti aku tetap sama. Aku dan abang-abangku turut sama terasa seperti orang lain. Tambahan pula apabila harga komoditi, getah dan kelapa sawit jatuh menjunam kepada harga asal.

Ini yang menyebabkan orang kampung yang ketawa besar dahulunya kini hilang lenyap entah ke mana. Hingga blog ini di tulis harga getah hanya tinggal pada sekitar harga 75 sen sekilogram. Padahal, dahulu harganya mencecah RM4 sekilogram. Mana tidaknya orang-orang kampung seperti aku ni tergamam. Maka ada kereta yang akan dan telah 'ditarik'. Ada pula yang tersadai di rumah. Mana tidaknya, dengan harga getah dan kelapa sawit yang sebegitu rupa, sapa lagi yang mampu menghidupkan enjin kereta yang dibeli semasa harga tengah mencanak dulu. "Jangan kata nak menghidupkan enjin kereta, nak menghidupkan orang pun susah sekarang", kata rakanku yang sama mengeluh.

Ini adalah cabaran awal untuk menghadapi keadaan ekonomi 2009.

Ramai berpendapat ekonomi negara akan terasa kesannya menjelang pertengahan tahun 2009. Aku yakin dan percaya dengan kenyataan itu.Tapi seperti aku orang kampung telah mula merasainya sekarang dengan pendapatan yang tidak seberapa lagi.

Memang sukar sekarang, malah makin sukar tahun hadapan. Aku percaya. malah sekarang ramai petani, dan penoreh mengeluh. Tambahan pula anak-anak akan mula bersekolah minggu depan. Mana bajunya. Mana bukunya lagi. Yuran, entah berapa? Memang susah bertambah susah.

Tapi mujur aku ada menyimpan dalam tabungan. Tidaklah terasa sangat apabila menjelang tahun baru yang pastinya memerlukan perbelanjaan yang besar.Kalau dulu aku terlalu mengikut rentak 'samba' orang lain sudah tentu sekarang aku juga sama seperti mereka. Berdikit-dikit pesan orang tua-tua. Ukur baju di badan sendiri. Jangan lebih kuah dan sudu. Inilah yang aku pegang sejak dulu.

Apatah lagi aku yang mula menceburi bidang penternakan ini, aku berdoa semoga bidang yang aku ceburi ini akan memberi nafas baru dalam kehidupan aku dan abang-abangku yang lain. Keakraban kami, diharapkan akan berterusan.

KAMBING.......CACING.... Memang berbeza dari segi rupa dan fizikal, tetapi hampir sama sebutannya..Malah rantaian kehidupan kedua-dua haiwan ini cukup bermakna, apabila KAMBING dan CACING memerlukan antara satu sama lain.

Menternak kambing dan cacing memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Mana tidaknya kalau dulu, aku cukup jijik dan geli dengan tahi kambing dan cacing. Malah sukar untuk aku mulakan.tapi sekarang kedua-dua itu menjadi mainan aku sekarang.

Tahi kambing dan cacing adalah sumber pendapatan yang agak lumayan sekarang.

CUBALAH......!!!!!!!!!

Tapi aku harus bersyukur, kerana kesukaran itu mengajar aku erti kesabaran.

Antara kambing-kambing ku











VERMIKOMPOS MENINGKATKAN KESUBURAN TANAH

PENGENALAN
Vermikompos adalah baja kompos yang terbentuk hasil dari pemeliharaan cacing di dalam kompos. Vermikompos mengandungi najis cacing yang bercampur dengan bahan-bahan organik yang mereput seperti jerami padi, rumput dan lain-lain sisa bahan tanaman. Vermikompos mengandungi pelbagai unsur nutrient yang sangat sesuai untuk tanaman. Ia juga mengandungi mikroorganisma yang dapat membantu menguraikan sebatian kompleks kepada unsur yang boleh diambil oleh tanaman

MEMBUAT VERMIKOMPOS
Bahab-bahan:
Jerami padi atau sisa bahan pertanian yang telah reput atau separuh reput
Najis haiwan (tahi lembu atau tahi ayam)
Cacing merah (cacing kompos)

CARA MEMBUAT VERMIKOMPOS
Sediakan tapak kompos dan bangsal untuk membuat vermikompos bagi melindungi daripada hujan dan panas
Masukkan 300 kg jerami dan 100 kg tahi lembu ke dalam kompos dan gaulkan
Masukkan 4 kg cacing merah (lebih kurang 10,000 ekor) ke dalam campuran jerami dan tutup dengan jerami atau guni
Lakukan penyiraman setiap 2 hari sekali supaya campuran sentiasa di dalam keadaan lembap
Pemantauan dan pengurusan yang sempurna hendaklah sentiasa dilakukan bagi memastikan cacing berada di dalam keadaan selesa dan tidak diganggu oleh musuh-musuh seperti semut, tikur dan burung
Hasil vermikompos boleh diambil dalam tempoh satu bulan

PENGUTIPAN HASIL
Vermikompos boleh dituai selepas 3-4 bulan. Vermikompos yang terhasil diasingkan dengan mengumpulkannya di satu bahagian dan bahan sisa tanaman baru ditempatkan di sebelahnya. Cacing-caing akan berpindah dengan sendirinya ke bahan sisa tanaman baru. Vermikompos yang telah diasingkan ditapis sebelum dibungkus dan dijual/digunakan.

KEBAIKAN VERMIKOMPOS
Memperbaiki struktur tanah
Memperbaiki kandungan biologi tanah dengan penambahan mikroorganisma, hormon dan juga enzim.
Membekalkan unsur-unsur yang diperlukan untuk pertumbuhan pokok
Mengandungi humus yang berguna untuk meningkatkan kesuburan tanah

Sumber : Pejabat Pertanian Daerah Manjung, Perak

TERNAKAN CACING: DIBENARKAN OLEH SYARAK



PENTERNAKAN HAIWAN EKSOTIK SPERTI LINTAH DIBENARKAN : MAJLIS FATWA

NILAI(Negeri Sembilan): Kegiatan penternakan haiwan eksotik seperti lintah dan cacing yang semakin mendapat sambutan ramai dibenarkan mengikut syarak, kata Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk pakar haiwan bagi menjalankan kajian berhubung perkara berkenaan bagi mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat.

"Selepas diteliti, jelas sekali perniagaan dan kegiatan penternakan haiwan seperti lintah dan cacing ini dibolehkan. ekoran permintaan semakin tinggi bagi menjadikannya baja organik, pemusnah sampah organik, bahan campuran dalam makanan ternakan dan pembuatan kosmetik.

"Umat Islam yang berhasrat menceburi bidang ini boleh teruskan hasrat mereka kerana daripada segi pemakanan haiwan itu juga tidak meragukan, malah penggunaannya untuk menghasilkan kosmetik juga didapati tidak timbul sebarang masalah," katanya ketika ditemui Berita Harian, di sini, baru-baru ini.Selain menghasilkan baja kompos, cacing mempunyai protein yang boleh digunakan dalam perubatan dan kosmetik.

Wujud 1,800 spesies cacing, tetapi lima yang mudah ditemui adalah cacing merah (red worm); cacing harimau (tiger worm); cacing biru (blue worm) dan cacing malam (African night crawler). Harganya mampu mencecah RM600 sekilogram selepas tempoh matang empat bulan.


Dipetik daripada BERITA HARIAN

Tarikh 17 Julai 2008

Mak O mak, Esok Hari Raya

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Sekadar Catatan

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Jumpa lagi di laman blog ini.. kali ini aku hanya hendak bercerita bagaimana kami boleh memulakan ternakan kambing dan cacing. Manakala ternakan cacing merupakan antara yang baru di daerah Muar telah kami ceburi dengan berani. Aku memang tidak menyangka aku dan abang-abangku akan menjadi penggembala kambing dan penternak cacing yang boleh menghasilkan vermikompos. Kadang-kadang terasa lucu tapi rasa gementar pun tetap ada. Aku telah memberanikan diri dan mengeluarkan modal yang bukan sedikit. Sehingga kini aku telah membelanjakan hampir RM30,000.00.

Siapa sangka, aku sekarang sebagai pendidik, abangku, Jamal pula bekas wartawan utusan yang pernah bertugas sebagai ketua negeri Utusan Malaysia di Sarawak sekitar tahun 90an. Manakala tiga lagi abangku Sarom, Sahar, Suif pula sebagai peniaga kecil-kecilan di daerah ini. Dan satu lagi abangku Ghani yang bertanggungjawab sebagai 'perantaraan' dan paling cepat bertindak dalam apa-apa urusan pula masih sebagai anggota kerajaan beruniform di daerah yang sedang membangun Tangkak.

Kami sepakat. Setelah kepergian ibu kami yang kami sayangi, maka tidak ada lagi tempat mengadu. Selalunya arwah ibuku lah yang menjadi penyatu dan lambang perpaduan kami. Rumah pusaka itulah tempat kami berkumpul semasa arwah ibu ku masih ada. Tapi setelah kepergiannya maka kami berbincang untuk memanfaatkan tanah pusaka yang tidak seberapa besarnya itu yang ditinggal oleh kedua ibu bapa kami.

Walaupun kami sudah besar panjang, tapi kami cuba mencari jalan untuk menyatukan keluarga dengan cara ini... Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas roh kedua ibu bapa kami dan memohon keberkatan-Nya kerana telah menggunakan tanah pusaka turun-temurun dan kami akan menghadiahkan pahala yang kami perolehi dari usaha murni ini kepada Allahyarham Iman bin Daim dan Allahyarhamah Hajjah Nafsiah bt Ahmad. AL FATIHAH.Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.Amin.

mjazidiman
prt unas,muar.

KANDANG

Biar aku mulakan dengan ternakan kambing dulu..

Aku puji semangat juang abang-abangku yang tidak kering peluh bukan saja menjaga tapi membela dan menternak kambing yang baru mencecah hampir 30 ekor. kambing kacukan jamnapari, boer, katcang mula membiak dan membesar dalam kandang kami seluas 20x40 kaki.
Dalam perkiraan aku, hanya 2 pusingan lagi kandang tu akan penuh dan memerlukan kandang baru.
Tapi tak pe.. mereka yang membela tahu bagaimana nak menguruskannya. tahniah!!

Lain kali kita bincang pasal BAJA ORGANIK..

Selamat malam.....

mjazidiman
parit unas,
Jalan Temenggong Ahmad
Muar, Johor.
11.25pm

PRA WACANA

ASSALAMUALAIKUM
kepada peminat-peminat ternakan cacing dan kambing

Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat allah swt kerana dengan limpah dan kurnianya maka dapat saya terbitkan laman ini untuk kita berkongsi bersama dengan penternak-penternak cacing dan kambing di mana sahaja anda berada.

Semoga dengan berbekalkan semangat yang tinggi akan memberikan kami kekuatan untuk terus berkongsi pengalaman dan ceritera dalam bidang yang baru kami ceburi ini.

sokongan dari semua amat kami harapkan untuk memberi ruang dan peluang supaya bidang ini akan menjadi mercu tanda di kampung kami. Insyaalah.....

terima kasih.

mjazidiman
parit unas,
11.05 pm