TUJUH TANDA-TANDA TAKUT KEPADA ALLAH

MENURUT Abul-Laits tanda-tanda takut kepada Allah dapat dilihat dalam tujuh perkara;

Pertama, pada lisannya. Seseseorang itu yang menghindarkan daripada dusta, ghaibah, menyibar fitnah, berbual-bual kosong dan banyak bercakap. Malah menyibukkan diri dengan zikir, membaca al Quran dan muzakarah ilmu. Dalam hal ini tentulah berzikir dengan nawaitu tidak betul, misalnya hendak menunjuk-nunjuk kealiman dan untuk dilihat sebagai orang yang senantiasa mengingati Allah.

Membaca al-Quran pula bukan untuk menghayati hukum-hukum dan perintah Allah tetapi untuk menunjuk kelunakan suara dan kebolehan melagukan ayat-ayat Quran dengan berbagai lagu dan irama. Manakala bermuzakarah tentang ilmu bukan mencari penyelesaian kepada sesuatu permasalahan yang timbul tetapi menegakkan hujah dan ego masing-masing.

Kedua, pada hatinya. Seseorang itu membuang masa permusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap sahabatnya. Perlunya membuang kedengkian kerana dapat menghapuskan kebaikan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda; "Hasad dapat memakan kebaikan sebagaimana api yang membakar kayu." Penyakit hasad adalah amat merbahaya. Tidak ada ubat untuk mengatasi penyakit ini selain ilmu dan amal.

Ketiga, pada pandangan. Seseorang yang tidak suka memandang pada makanan, minuman, pakaian dan hal-hal lain yang haram. Tidak pula terpesona dengan dunia. Sebaliknya dia memanang dengan mengambil iktibar. Rasulullah s.a.w. telah bersabda; "Barang siapa memenuhi matanya dengan benda haram, maka Allah akan memenuhinya dengan api pada hari Kiamat."

Keempat, pada perutnya. Perut seseorang itu tidak diisi dengan barang dan wang haram, hasil curi, rompak, rasuah dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w. "Sesuap makanan haram masuk ke perut, seluruh Malaikat di langit dan di bumi akan melaknati selama barangan itu berada di dalam perutnya. Jika mati di dalam keadaan demikian maka dia akan di tempatkan ke Neraka."

Kelima, pada kedua tangannya. Seseorang yang tidak menggunakan kedua tangannya untuk melakukan sesuatu yang haram melainkan untuk taat kepada Allah. Dirawikan daripada Ka'ab Akhbar dia berkata; "Sesungguhnya Allah telah membina bangunan dari zamrud hijau. Di dalam terdapat tujuh puluh ribu aula. Setiap aula terdapat tujuh puluh ribu pondok. Tidak dapat masuk ke kawasan itu selain orang ditawarkan barang haram, namun dia menolak kerana takut kepada Allah."

Keenam, pada langkah kakinya. Seseorang itu tidak menggunakan kakinya untuk melangkah ke tempat maksiat. Tetapi melangkah hanya untuk taat kepada Allah, mencari keredhaan-Nya serta untuk bergaul dengan para ulama dan orang-orang soleh.

Ketujuh, terlihat kepada ketaatnya. Seseorang itu menjadikan ketaatannya semata-mata mencari keredhaan Allah. Takut kepada riak dan munafik.

Sesiapa yang melakukan tujuh perkara itu dia termasuk dalam kategori orang-orang yang dikatakan Allah; "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa dalam kebun-kebun dan mata air (Syurga)." - Al Hijr: 45.

Wassalam.

0 comment(s):

Catat Ulasan